E-sastera (cyber-literature)
merupakan sesuatu yang baharu dalam bidang kesusasteraan pada hari ini yang
bergerak seiring dalam zaman teknologi maklumat. Jika dilihat pada maksudnya, e-sastera merupakan hasil-hasil pemikiran
pengarang yang kreatif dan bermanfaat, mengandungi unsur-unsur siber atau
elemen-elemen multimedia serta menggunakan pautan internet sebagai wadah
penyampaian sesebuah karya sastera.
Terdapat dua kajian lepas diterbitkan yang
berkaitan dengan e-sastera, iaitu pertama oleh Mohamad Mokhtar Hassan dan Tg
Intan Marlina Tg. Mohd Ali (2006), bertajuk “Jabatan
Pengajian Melayu: Dulu, Kini dan Masa Depan.” Makalah ini diterbitkan dalam
buku SEBAHTERA 2006 PPBKKM-APM yang diterbitkan oleh Penerbit Akademi Pengajian
Melayu, Universiti Malaya. Makalah ini menganalisis kursus-kursus Kesusasteraan
Melayu yang ditawarkan di Jabatan Pengajian Melayu dan di Jabatan Kesusasteraan
Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dari tahun 1960-an hingga
2006. Penelitian dilakukan terhadap kursus-kursus tersebut bagi menganalisis
sejauh mana kursus tersebut memperkasakan Kesusasteraan Melayu pada masa
hadapan (Mohamad Mokhtar Hassan & Tg. Intan Marlina Tg. Mohd Ali, 2006). Kajian
ini melihat pelaksanaan tiga kursus baru yang ditawarkan kepada pelajar sesuai
dengan perkembangan semasa dan juga cabaran-cabaran dalam pelaksanaannya.
Kajian
lepas yang kedua pula bertajuk “Karya Sastera Moden sebagai Pengisian Pengajian
Kebangsaan di Jabatan Kesusasteraan Melayu, APM oleh Tengku Intan Marlina
Tengku Mohd Ali, Madiawati Mamat @ Mustaffa & Mohamad Mokhtar Abu Hassan
(2007). Makalah ini diterbitkan dalam Rahim Aman, Zainal Abidin Borhan, Anwar
Omar Din, Sebahtera 2 pengajian Melayu Teras Pengajian Kebangsaaan, Bangi:
Universiti Kebangsaan Malaysia. Makalah ini menganalisis kursus-kursus di
Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu bagi tujuan
memperkasakan Kesusasteraan Melayu pada masa hadapan (Tengku Intan Marlina
Tengku Mohd. Ali, Madiawati Mamat & Mohamad Mokhtar Abu Hassan dlm. Rahim
Aman, Zainal Abidin Borhan & Anwar Omar Din, 2007). Kajian ini hanya
memfokuskan tiga kursus terkini di Jabatan Kesusasteraan Melayu yang sesuai
dengan perkembangan sekarang yang dan juga cabaran-cabaran dalam
pelaksanaannya.
Kajian lepas luar negara pula melibatkan
kajian oleh Slusser (1992). Dalam kajiannya, Cyberpunk And The Future Of Narrative terdapat banyak ulasan karya
sastera dalam talian bergenre novel terawal.
Kajian seterusnya oleh Medy Loekito (2001)
dalam kajiannya Cyber Graffity
berpandangan bahawa sastera siber adalah sastera bebas, penerbitannya terbatas,
namun mudah difahami.